Sunday, November 07, 2004

Mayat kanak-kanak ditemui

Mayat kanak-kanak ditemui

ok. ini berite yg terpapar kat UTUSAN MALAYSIA (Dlm Negeri) online website bertarikh 7 Nov 2004 which is the detail story for yesterday's entry. thanks to Maz for the url!


Beberapa orang anggota Smart dan Bomba mengangkat mayat Haseenah Azman, 8 tahun yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Taman Harmonis, Gombak semalam. - Gambar ASWAD YAHYA.

KUALA LUMPUR 6 Nov. - Seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang terperangkap selama 11 jam dalam bilik tidurnya ekoran tanah runtuh di 1871-1, Jalan Tengah 6, Kampung Tengah, Taman Harmonis di sini malam tadi, ditemui mati oleh pasukan penyelamat pagi ini.

Mangsa, Haseenah Azman ditemui tersepit dan dihempap oleh kepingan dinding rumah serta tanah.

Pasukan penyelamat terpaksa mengambil masa selama 30 minit untuk mengeluarkan mayat Haseenah dari timbunan kepingan dinding rumah itu sebaik sahaja ditemui.

Operasi mencari dan menyelamat Haseenah dijalankan sejak malam tadi hingga pagi ini sebaik sahaja kejadian itu berlaku kira-kira pukul 11 malam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Mohd. Azmir Mohd. Nadzri berkata, mangsa ditemui dalam keadaan terbaring di atas lantai dengan kedua tangan dan kakinya patah manakala kepalanya ditindih kepingan dinding.

Menurutnya, mangsa ditemui kira-kira pukul 10.30 pagi ini dan pasukan penyelamat terpaksa berhati-hati semasa mengorek tanah yang runtuh kerana dikhuatiri akan mencederakan mangsa, namun Haseenah gagal diselamatkan.

``Kira-kira pukul 11 pagi ini, mayat mangsa dapat dikeluarkan dan dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat,'' katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 11 malam tadi, mangsa sedang tidur bersama kakaknya, Safiah, dalam sebuah bilik di bahagian belakang rumah banglonya sebelum tembok belakang banglo setingkat itu tiba-tiba runtuh. Akibat kejadian tanah runtuh itu, tiga bilik serta sebuah dapur di bahagian belakang banglo berkenaan runtuh dengan timbunan tanah berlumpur dan batu-batan.

Mohd. Azmir berkata, seramai 32 pegawai dan 145 anggota penyelamat dari pelbagai jabatan termasuk Jabatan Pertahanan Awam (JPA3), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart), bomba, Rela dan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) terlibat dalam operasi itu.

Beliau berkata, bapa mangsa, Dr. Azman Ahmad, 43, hanya dapat menyelamatkan empat daripada lima orang anaknya dengan keluar melalui tingkap.

Tambahnya, hanya Haseenah yang terperangkap dalam kejadian itu kerana dipercayai tersepit dalam runtuhan.

``Empat lagi adik-beradik mangsa iaitu dua lelaki dan dua perempuan berumur empat hingga 14 tahun terselamat,'' ujarnya.

Sementara itu, seorang penduduk, Herman Ad Munip, 19, berkata, dia antara penduduk yang terawal berkumpul di hadapan kediaman berkenaan.

Tambahnya, ketika itu dia dapat melihat sebahagian rambut Haseenah yang telah dihimpit oleh dinding rumah.

Jelasnya, para penduduk lain hanya dapat melihat kejadian itu dari luar kerana struktur tanah di kawasan tersebut masih tidak stabil, berlumpur dan dikhuatiri akan runtuh sekali lagi.

``Semasa saya masuk ke dalam rumah itu, saya tengok kanak-kanak itu tidak bergerak dan hanya nampak rambut dan bahu kanannya saja.

``Saya nampak bahu kanannya berdarah dan luka teruk. Saya cuba panggil dia tetapi tidak ada jawapan.

``Saya cuba keluarkan dia, tapi saya takut nanti saya pun terperangkap sama,'' katanya.

Ketua Kampung Tengah Gombak, Abdul Halim Idris, 41, berkata, penduduk kampung yang terdengar bunyi runtuhan tanah dan telah bergegas ke tempat kejadian.

Katanya, ketika penduduk kampung mula berkumpul di hadapan kediaman itu, bilik belakang banglo tersebut didapati masih belum runtuh sepenuhnya.

Namun tambahnya, runtuhan itu berlaku dalam sekelip mata tanpa dapat menyelamatkan kanak-kanak perempuan berkenaan.

``Pada masa itu, bilik yang dihempap tanah tersebut tidak dapat dimasuki memandangkan terdapat bunyi retakan dan tanah mula memenuhi ruang bilik berkenaan.

``Jika kami masuk, saya jamin akan terperangkap sama memandangkan runtuhan masih berlaku,'' katanya.

Mayat Haseenah telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Selayang untuk bedah siasat.

Hadir di Hospital Selayang untuk menziarah keluarga berkenaan Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Radzi Sheikh Ahmad.

Jenazah kanak-kanak itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Klang Gate di sini petang ini.

Labels:



Comments:

blog comments powered by Disqus

Older Posts    Home    Newer Posts
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...